3 Aktiviti Ibu dan Anak untuk Meraikan Hari Ibu - Nak Makan Apa?

3 Aktiviti Ibu dan Anak untuk Meraikan Hari Ibu

Save to your favorites

Nak Makan Apa|May 9, 2021

Ibu memainkan banyak peranan dalam kehidupan keluarga. Tidak dapat dinafikan, pentingnya peranan seseorang ibu itu dalam mencurahkan kasih sayang, mengasuh anak dan mendorong impian. Apatah lagi, tidak terukur pengorbanan ibu dalam memastikan kesenangan dan kebahagiaan keluarganya. Tanpa mementingkan diri, ibu selalu mendedikasikan masa dan tenaga mereka, walaupun hanya untuk melihat senyuman anaknya ataupun perkara yang dianggap remeh seperti keluarganya kenyang makan dan selesa tidur. Terdapat banyak perkara yang tidak jelas terlihat apabila kita berceritakan tentang jasa seseorang ibu. Samada kerja full-time ataupun full-time housewife, ibu sentiasa cekal membimbing dan mendidik anak secara berterusan dan ini hanya separa daripada senarai tugasan ibu yang panjang dalam membina keluarga yang bahagia.

 

Bagi seseorang anak pula, ibu itu adalah manusia pertama yang dikenali sejenak sahaja dia mencelik mata ke dalam dunia. Ikatan ibu dan anak adalah sesuatu yang tidak dapat dibandingkan dengan mana – mana hubungan lain. Cahaya mata itu adalah nikmat seorang ibu dan ibu pula adalah tempat mereka bergantung. Walaupun telah besar berdikari, anak – anak akan selalu berpegang kepada nilai murni yang diajari ibu mereka.

 

Sempena Hari Ibu tahun ini, kami mengajak ibu – ibu dan anak – anak untuk meluangkan masa bersama – sama. Tidak ada apa yang lebih membahagiakan ibu dari berpeluang untuk meraikan bersama keluarga tersayang. Senarai di bawah merupakan aktiviti – aktiviti seronok yang boleh dilakukan bersama seisi keluarga.

 

Sesi kenali ibu dan imbas kembali

Aktiviti Ibu dan Anak Hari Ibu
Ikatan antara ibu dan anak akan kekal selamanya.

Semua ibu adalah wanita tersendiri sebelum mendirikan rumah tangga. Perjalanan dan pengalaman seseorang wanita itu menjadikannya ibu juara yang kita kenali hari ini. Mulalah Hari Ibu dengan merancang sesi mengenali ibu bersama anak. Ahli keluarga yang lain boleh turut serta menjalankan aktiviti ini bersama – sama. Minta anak menyediakan beberapa soalan, seolah – olah ibu adalah bintang utama yang akan ditemu ramah semasa sesi itu. Inilah masa untuk mengenali ibu yang sebenar dan siapakah dia sebelum menjadi seorang ibu. Lagi spesifik dan unik soalan-soalan ditanya, lagi menarik jawapan yang akan diterima. Satu kepastian, akan terkeluar beberapa cerita yang mengejutkan, tidak pernah diketahui atau disangka oleh keluarga.

 

Untuk indahkan lagi aktiviti ibu dan anak ini, keluarkan album foto lama dan memorabilia yang ada untuk dikongsikan bersama. Dalam sesi ini, anak akan menjadi penemuduga, ibu pula menjadi storyteller. Ceritakan tentang zaman kanak – kanak, segala pencapaian dan juga kenangan – kenangan manis waktu dahulu. Bukan sahaja aktiviti ini dapat berkongsi sedikit sebanyak mengenai ibu tapi ia juga mengingatkan ibu tentang betapa mengagumkan diri dia.

 

Raikan seperti anak

Aktiviti Ibu dan Anak Hari Ibu
Hari Ibu adalah hari selebrasi bagi kedua – dua ibu dan anak.

Menjadi seorang ibu adalah tugasan 24/7 yang tidak terhenti dari saat bangun pagi hingga tidur malam. Merancang, menyediakan, menyiapkan dan memastikan hari yang lancar adalah antara perkara yang sentiasa dalam minda ibu. Hari Ibu merupakan satu – satunya hari yang ibu boleh berehat sebentar dari tugasan tersebut dan raikan sepenuhnya dan dengan cara apa lagi yang sesuai dari meraikannya seperti seorang kanak – kanak?

 

Apakah aktiviti kegemaran anak? Adakah dia suka melukis dan mewarna atau menikmati aktiviti luar seperti bermain air, mengunjungi taman dan bermain basikal? Inilah masanya untuk menjalinkan lebih lagi hubungan dengan anak. Lepaskan seketika tugasan harian dan luanglah tumpuan dan masa sepenuhnya meraikan hari istimewa ini. Lihatlah dunia dimata anak dan gapailah kegirangan seperti mereka. Aktiviti ini bukan sahaja mengeratkan lagi hubungan ibu dan anak tetapi memberikan ibu perasaan bebas dan bermakna.

 

Ibu nak makan apa?

Aktiviti Ibu dan Anak Hari Ibu
Masa untuk bertukar peranan di dapur antara ibu dan anak!

Ibu dan aktiviti memasak tidak dapat dipisahkan dan peranan mereka di dapur itu adalah antara tugasan ibu yang tiada gantinya. Air tangan ibu memasak bukan sekadar mengisi perut atau setakat menyiapkan hidangan kegemaran keluarga, tetapi, ia juga membina dan membuka deria rasa yang akan mengajar terutama sekali anak itu tentang dunia pemakanan. Kebiasaannya anak – anak yang telah dewasa juga akan selalu mengingati masakan ibu mereka. Selain itu, kemahiran ibu di dapur adalah suatu perkara yang tidak dapat diragukan. Mahupun penat berkerja atau menjaga rumah sehari, mereka tetap mampu menyediakan juadah yang lazat buat keluarganya.

 

Pada hari selebrasi ini, tukarlah peranan di dapur dan berikan anak peluang (dengan pertolongan si bapa atau pengawasan seorang dewasa) memasak untuk ibu. Untuk menyeronokkan lagi keadaan, buat garisan antara dapur dan ruang rumah yang melarang ibu untuk tolong masak. Ibu boleh duduk di luar garisan dan memberi panduan, tetapi, ideanya ibu tidak boleh mengangkat satu senduk, pot ataupun bahan masak ketika itu. Jika di tanya “Ibu nak makan apa?”, cadangkanlah resepi – resepi yang mudah dekendalikan anak seperti sandwic ataupun salad. Untuk beberapa inspirasi atau panduan, lihat resepi Sandwic Cartoon dan Salad Quinoa ini yang mudah dibuat. Jika mereka mahu menyediakan dessert, resepi Cheesekut Mentega Kacang ini juga tidak rumit untuk anak – anak mencuba.

 

Seperti mana yang sering didengari, setiap hari menjadi ibu itu adalah juga Hari Ibu tetapi, bukan setiap hari semua ahli keluarga, termasuklah ibu, diberi kelapangan masa dan peluang untuk meraikannya. Jadikanlah hari istimewa sekali setahun ini suatu pengalaman dan memori indah buat bertahun – tahun yang akan datang.

 

Selamat menyambut Hari Ibu!

Post saved to your favorites.
Post removed from favorites.