Tips Menyediakan Menu Sahur untuk Anak Mula Berpuasa - Nak Makan Apa?

Tips Menyediakan Menu Sahur untuk Anak Mula Berpuasa

Save to your favorites

Nak Makan Apa|April 16, 2021

Tepukkan bagi ibu bapa yang berjaya mendorong anak mereka berpuasa untuk kali pertama. Ini merupakan satu milestone bagi seisi keluarga dan terutama sekali bagi si kecil. Cabaran berpuasa itu tidak mudah bagi anak tetapi determinasi untuk mencuba adalah satu langkah besar buat mereka. Sebagai ibu bapa, selain mendorong mereka, kita juga seharusnya memudahkan pengalamannya. Tidak apa lah jika mereka memerlukan layanan yang sedikit lebih manja ataupun memberikan sesuatu ganjaran kecil sebagai motivasi, tiada yang lebih bermakna dari melihat anak kita membesar dan mencuba.

 

Satu daripada cabaran berpuasa adalah anak – anak tidak biasa dengan amalan sahur di awal pagi. Bukan sahaja mereka masih mengantuk, mengaktifkan selera makan juga mungkin amat sukar. Oleh itu, ibu bapa dan ahli keluarga perlu mengambil initiatif memikat lagi hati anak untuk sedia bersahur. Satu cara yang boleh membantu adalah dengan menyediakan menu sahur yang menarik atau digemari anak itu.

 

Berikut adalah beberapa tips yang boleh membantu ibu bapa menyediakan menu sahur buat si pertama kali puasa dengan mudah.

 

Mengenali makanan kegemaran anak

Menu Sahur Anak Makanan Kegemaran
Kenali makanan kegemaran anak untuk dimasukkan dalam menu sahur.

Apabila mencari jalan untuk memikat hati anak, sudah tentu apa – apa yang digemarinya menjadi umpan yang terbaik. Kenalilah apa yang selalu membuat mereka teruja di waktu sarapan, samada dia lebih cenderung kepada hidangan seperti nasi dan bihun goreng, ataupun lebih kepada roti – roti, pancake dan waffle. Jika membuat nasi atau bihun goreng, pastikan protein dan khasiat yang mencukupi terdapat dalam hidangan itu. Gunakan isi ayam, telur dan sayur – sayuran mudah potong kecil seperti lobak merah, kacang pis dan jagung. Sebagai ingatan, kurangkanlah juga kandungan garam dan minyak untuk membuat hidangan itu lebih sihat.

 

Kalau makanan kegemaran anak anda adalah lebih kepada yang berperisa manis, cari idea hidangan yang memenuhi citarasa kegemaran mereka tanpa mengabaikan diet yang seimbang. Contohnya, jika menyediakan roti, sapuan seperti mentega kacang bukan sahaja enak tetapi berkhasiat dengan protein. Anda juga boleh tambahkan hirisan buah epal atau strawberry yang sering menjadi padanan sesuai dengan mentega kacang. Untuk hidangan seperti pancake dan waffle pula, tambahkan oat atau buah – buahan seperti blueberry dan pisang dalam adunan untuk membuat pancake itu lebih padu memberikan tenaga dan nutrisi yang di perlukan. Selain menyediakan menu sahur dengan makanan kegemaran mereka, memupuk minat dan sikap positif terhadap routine sahur juga boleh menyenangkan lagi keadaan.

 

Mengajak mereka merancang sahur bersama

Menu Sahur Anak Merancang Bersama
Luangkan masa untuk merancang menu sahur bersama anak.

Anak – anak pasti lebih teruja untuk bersahur apabila dia juga terbabit dalam proses perancangan. Amalkan mengajak anak anda bersama – sama fikir menu sahur esok pagi pada setiap malam atau hari sebelumnya. Jika anda sedang membuat persiapan, ajaklah anak itu membantu anda di dapur sekali. Jangan lupa untuk dengarkan juga pendapat mereka, samada anak itu ingin memberi cadangan ataupun membuat sebarang permintaan. Dengan cara ini, mereka akan rasa seperti sebahagian daripada routine itu dan pasti menanti – nantikan waktu sahur pagi seterusnya.

 

Namun begitu, perancangan menu sahur tidak perlu semuanya serius dan muktamad. Nilaikan apa yang terbaik buat anak mengikut situasi. Banyak faktor yang boleh mengubah perancangan dan ibu bapa perlu bersikap fleksibel kerana anak itu masih lagi membelajar dan membiasakan diri. Jika menu sahur yang di rancang tidak menjadi atau tidak mendapat sambutan pagi itu, cepat – cepatlah adanya back-up untuk pastikan anak masih mendapat nutrisi dan daya tenaga yang mencukupi.

 

Menghidang makanan anak secara kreatif

Menu Sahur Anak Kreatif
Tarik perhatian anak anda dengan menu sahur yang kreatif.

Satu lagi tips menyediakan menu sahur yang menarik adalah dengan menghidang makanan secara kreatif dan unik. Cuba bayangkan pancake atau waffle tower? Di mana ia disusun secara bertingkat dan dihiasi dengan buah, kacang dan madu. Jika buah dan kacang tidak digemari anak, mengisi telur hancur dan kepingan ayam di antara timbunan pancake atau waffle itu juga akan kelihatan menarik. Gantikan madu tadi pula dengan

 

Menu sahur seperti sandwic, wrap dan yang berasaskan roti juga lebih senang disajikan secara kreatif. Tambahan pula, ia mudah dipotong kecil untuk anak senang makan. Roti mudah untuk digandingkan dengan pelbagai bahan seperti mentega kacang, jem buah, ataupun yang lebih kenyang dan berprotein tinggi seperti ayam, tuna dan telur. Cubalah resepi Telur Awan Gebu dengan Sosej dan Lobak Merah ini dan hidangkan bersama kacang panggang dan air kegemaran anak anda. Bukan sahaja ia kelihatan seperti hidangan di kafe tetapi juga lazat dan berkhasiat.

 

Idea – idea ini adalah lebih kepada untuk meransangkan perasaan dan minda anak terutama sekali di awal pagi sahur. Akan tetapi, ini juga bermakna ibu bapa perlu lebih berusaha untuk membuat persiapan. Justeru itu, buatlah yang terbaik mengikut kemampuan masing – masing. Sentiasa merancang lagi – lagi bila bekerja atau sibuk dengan perihal harian. Menyediakan menu sahur untuk anak yang baru mula berpuasa tidak perlu menjadi sesuatu yang sukar.

 

Masih memerlukan idea tambahan untuk menu sahur anak? Cubalah resepi Nasi Tomato  atau resepi  Roti John DIY ini!

Post saved to your favorites.
Post removed from favorites.